Melaka Titans melakar kejayaan pertama dalam aksi Piala Kejuaraan Liga Sepak Takraw (STL) apabila menundukkan Andalas Islanders 2-1 di Stadium Tertutup Serdang Jaya (MPSJ), petang tadi.

Juara Liga Divisyen Satu, Melaka Titans, diberikan laluan berliku dalam aksi terdahulu apabila tewas 0-2 di tangan juara Liga Premier, Penang Black Panthers.

Bertemu Andalas Islanders dalam aksi kedua,Melaka bertekad bangkit memberikan persaingan dalam Piala Kejuaraan dengan memimpin perlawanan sejak awal.

Walaupun pada suatu ketika Andalas Islanders seakan-akan mampu memintas, Melaka tidak tidak menunjukkan sebarang kegusaran menerusi gandingan Khairol Zaman Hamir Akhbar, Sahidan Md Ali dan Zarlizan Zakaria untuk melengkapkan kemenangan 21-18 dalam set pertama.

Set kedua menyaksikan Andalas mengemaskan permainan dan memberikan asakan hebat kepada Melaka sehingga membolehkan mereka mengheret perlawanan ke set penentuan susulan kemenangan 21-13.

Melaka pantas bangkit untuk kembali mencari rentak dalam set ketiga sebelum membenam Andalas Islanders 21-11, sekaligus membutirkan kemenangan sulung mereka sementara Andalas Islanders dijadikan mangsa kekalahan buat kali kedua setelah tewas 0-2 di tangan Perak Bison, sebelum ini.