“Pemain Johor Tigris tahu mereka perlu menang dengan Kuala Lumpur Thunder untuk elak berada dalam zon penyingkiran dan tebus kembali kekalahan dalam pusingan pertama.

“Bukan satu perlawanan yang mudah kerana kami turun tanpa tekong utama, Haidzir Rashid, yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan,” kata jurulatih Johor Tigris, Jamaluddin Hassan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan menarik di antara skuad bimbingannya, Johor Tigris, mengalahkan pasukan pilihan, Kuala Lumpur Thunder 2-0 dalam saingan minggu kelapan Liga Sepak Takraw (STL), di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, petang semalam.

Jamaluddin, yang juga bekas jurulatih kebangsaan, memuji tekong gantian, Amirul Asyraaf Khairul, yang beraksi cemerlang mengutip mata melalui servisnya.

Kombinasi menarik di antara Lutfil dan Norhafizi pula membolehkan Johor Tigris terus mengaum garang.

“Alhamdulillah, Amirul berjaya melakukan servis dengan baik untuk mencari mata demi mata. Kombinasi mantap di antara apit kiri, Lutfil Azmi, dan perejam utama, Norhafizi Abdul Razak, semakin menjadi dan membolehkan kami menguasai set kedua dengan agak mudah.

Jamaluddin berharap kejayaan Johor Tigris menebus kembali kekalahan 1-2 kepada Kuala Lumpur Thunder dalam pusingan pertama menjadi motivasi terbaik kepada pemainnya untuk terus berjuang supaya kekal dalam enam kelompok terbaik STL.

“Perjuangan tetap diteruskan. Insya-Allah selepas kemenangan ke atas pasukan pilihan ini (Kuala Lumpur Thunder), pemain perlu beraksi lebih cemerlang kerana kedudukan Johor Tigris masih belum selamat untuk kekal dalam kelompok enam terbaik.

"Kedah Eagles dan Kelantan Warriors pastinya akan terus memberi cabaran yang kuat,” katanya.

Dalam saingan petang semalam, Johor Tigris mempertaruhkan gandingan Norhafizi Abdul Razak (apit kanan), Amirul Asyraaf Khairul (tekong) dan Lutfil Azmi (apit kiri) menunjukkan aksi mantap mengalahkan Kuala Lumpur Thunder yang diwakili Aizat Nor Azmi (tekong), Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Zamree Dahan (apit kanan) dengan kemenangan 21-18, 21-11.