Juara bertahan, Kelantan, memulakan aksi pertama dengan langkah kanan apabila mengalahkan Perak 2-1 dalam acara berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan Ke-10 di Wisma Sukan, Jalan Telipot, Kota Bharu, hari ini.

Kelantan, yang menurunkan Mohd Khairy Liman, Asnan Ghani dan Mohd Fitri Haikal, tewas mengejut 1-2 (19-21, 21-15 dan 16-21) kepada regu Perak A yang diwakili Bah Jasman Asin, Edward Bah Uda dan Azwan Adnan.

Regu B Kelantan yang diwakili Aizad Daniel, Adik Razak dan Heryak Ramlan berjaya menyelamatkan maruah juara bertahan itu apabila mengatasi regu Perak B 2-0 (21-19, 21-12).

Dalam regu penentuan, Kelantan C cemerlang untuk mengalahkan regu C Perak 2-0 (21-17, 21-17), sekaligus membuktikan mereka cukup bersedia untuk mempertahankan kejuaraan di gelanggang sendiri.

Ketua Jurulatih, Awie Seman, berpuas hati dengan persembahan anak buahnya biarpun regu A tewas mengejut.

"Syukur dengan kemenangan pertama. Biarpun regu A tewas mengejut, dua regu lagi tenang untuk mencatatkan kemenangan.

"Kami akan menghadapi Johor selepas ini dan kemenangan akan memastikan Kelantan layak ke separuh akhir," katanya.

Keputusan lain:
Pahang 2 Negeri Sembilan 1