“Johor Tigris perlu menang malam ini untuk membaiki kedudukan liga tetapi yang lebih penting untuk tebus semula kekalahan tahun lepas kepada Kelantan Warriors dalam saingan berpasukan Liga Sepak Takraw (STL).

“Satu perlawanan yang dijangka sengit kerana kedua-dua pasukan mahu mencari kemenangan dan membaiki kedudukan liga yang masih diterajui oleh Terengganu Turtles,” kata jurulatih Johor Tigris, Jamaluddin Hassan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan menarik di antara skuad bimbingannya, Johor Tigris, menentang Kelantan Warriors dalam saingan minggu keempat di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, malam ini.

Jamaluddin, yang juga bekas jurulatih kebangsaan, percaya pemainnya sudah melupakan kekalahan kepada Kedah Eagles dua minggu lepas dan lebih fokus untuk bertemu dengan Kelantan Warriors.

“Kami akan turunkan pemain utama yang telah memberi kemenangan dalam dua perlawanan awal. Kehadiran semula apit kiri utama, Saifulruddin Khalid, yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan adalah bonus kepada pasukan.

“Insya-Allah selepas berehat dua minggu, Johor Tigris akan mengaum semula dan malam ini diharap menjadi detik terbaik untuk kami mendapatkan mata penuh,” katanya.

Dalam saingan dua minggu lepas, Johor Tigris mempertaruhkan gandingan Norhafizi Abdul Razak (apit kanan), Haidzir Rashid (tekong) dan Lutfil Azmi (apit kiri) tetapi mendapati gandingan Kedah Eagles terlalu ampuh untuk ditumbangkan apabila kalah 2-1.