Selepas Kuala Lumpur Thunder meluahkan kekecewaan dengan kaedah semakan video keputusan pengadil Liga Sepak Takraw (STL) 2016 yang dianggap kurang jelas, kini giliran Terengganu Turtles pula menyuarakan rungutan yang hampir sama, tetapi dengan sedikit idea membina.

Pengurus pasukan dari Pantai Timur itu, Shafei Sulong, menyarankan penganjur STL supaya turut menggunakan grafik komputer sebagai penyokong rakaman video perlawanan bagi mendapatkan kejelasan dan ketepatan keputusan pengadil apabila ada pasukan yang mencabarnya.

“Kita boleh buat macam badminton ketika Sukan Olimpik Rio atau perlawanan tenis, ada satu tanda jelas dengan grafik komputer yang menunjukkan bola masuk atau tidak di garisan gelanggang atau dalam kes sepak takraw, yang terkena tangan pemain ketika dalam permainan (seperti Thunder melawan Penang Panthers, Jumaat lalu).

“Saya tidak mahu mempertikaikan keputusan pengadil yang sepatutnya muktamad. Namun, ketika kami menentang Melaka Titans, mereka juga boleh tiba-tiba menukar keputusan pemain lawan yang mulanya dibatalkan kerana bola terkena tangan.

“Permainan sudah diberhentikan ketika itu dan pemain kami akur tetapi kemudian lawan pula diberikan mata,” katanya yang turut mengakui perlawanan sehebat itu wajar bebas daripada sebarang kontroversi dan berlangsung secara adil dan saksama.

Turtles, bagaimanapun, memenangi perlawanan sengit itu di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, Ahad lalu 22-20, 17-21, 21-17, sekali gus menerajui kedudukan mata selepas saingan minggu kedua sekalipun terikat enam mata dan tiga kemenangan dengan Penang Panthers.

Jurulatih Thunder, Azhar Sarabini, pula mendakwa video berkenaan kurang jelas dan kurang terperinci dalam menunjukkan bola terkena tangan pemainnya yang menghadang rejaman dalam set penentuan yang kemudian dimenangi Panthers, 9-21, 21-19, 21-17, Jumaat lalu.

Semakan video keputusan pengadil diperkenalkan dalam STL musim ini dengan setiap pasukan yang memenangi ‘cabaran’ itu kali pertama, dibenarkan meneruskannya dalam set berikutnya manakala yang kalah, tidak mendapat peluang itu lagi.

JADUAL MINGGU 3

Esok: Kelantan Warriors lawan Kedah Eagles (8 malam), Terengganu Turtles lawan ATM Guardians (9.30 malam)

Sabtu: Terengganu Turtles lawan Kuala Lumpur Thunder (4 petang), ATM Guardians lawan Penang Panthers (5.30 petang)

Ahad: Melaka Titans lawan Kelantan Warriors (4 petang), Johor Tigris lawan Kedah Eagles (5.30 petang)

Kesemua perlawanan berlangsung di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor.