Enam pemain yang digantung oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) kerana isu doping dibenarkan beraksi di Sepak Takraw League (STL) sehingga perbincangan dengan Agensi Anti Doping Dunia (WADA) dimuktamadkan.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, mengesahkan telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail, di Bangkok, Thailand.

Hasil perbincangan itu mencapai kata sepakat agar rayuan enam pemain terbabit yang enggan menyerahkan sampel air kencing ketika Kejohanan Piala Raja Thai, Oktober lalu, diberi kelonggaran beraksi dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL).

Namun, keenam-enam pemain terbabit tetap tidak dibenarkan beraksi di kejohanan luar negara sehingga perbicaraan mereka dilangsungkan pada Januari depan.

"Exco ISTAF telah bersetuju, iaitu penggantungan yang dikenakan ke atas keenam-enam pemain tersebut daripada menyertai pertandingan sepak takraw dalam negeri telah ditarik balik," katanya.

Selain itu, Halim berkata penggantungan terhadap tiga pegawai tetap kekal dan tidak boleh menjadi pengurus kepada mana-mana pasukan, sama ada di dalam atau luar negara.

Menurut beliau, itu sebagai pengajaran berguna kepada pegawai berkenaan yang tidak menghormati peraturan pertandingan.