Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail, mengesahkan Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai tetap berlangsung seperti biasa meskipun Kerajaan Thailand menghentikan segala bentuk hiburan berikutan kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej.

Akhbar antarabangsa melaporkan kesemua aktiviti berbentuk hiburan dihentikan selama sebulan di Thailand sebagai tempoh berkabung dan kesannya, Liga Thailand terpaksa ditamatkan lebih awal.

Namun, Ahmad yang kini berada di Bangkok bersama skuad sepak takraw negara mengesahkan Piala Raja Thai masih berlangsung seperti biasa, cuma tidak meriah seperti tahun lalu.

"Kejohanan itu tetap berjalan kerana sudah ada 20 negara yang terlibat.

"Cuma tidak ada sambutan meriah dan ketika mendapat mata, pemain tidak dibenarkan bersorak. Perlawanan akan dijalankan secara sederhana," jelasnya.

Piala Raja Thai dijadualkan berlangsung pada 17 Oktober ini dengan Malaysia menghantar seramai 29 orang pemain, termasuk skuad lelaki dan wanita.

Untuk edisi kali ini, Malaysia juga akan menyertai satu acara baru, iaitu quadrant empat sepasukan.