Perejam Penang Black Panthers, Mohd Azlan Alias, tidak rela peluang untuk mengulangi slot final dirampas ATM Guardians, dengan menganggap pasukannya memiliki kriteria selaku pasukan pilihan ke peringkat itu dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL).

Mahu mengulangi kecemerlangan musim lalu, Azlan tidak mahu kemunculannya bersama Black Panthers direntap ATM Guardians, yang turut memiliki misi sama dalam aksi separuh akhir STL, Sabtu ini.

Bagi Azlan, Black Panthers mempunyai segala-galanya untuk mengatasi Guardians yang pasti turut bersemangat untuk mara ke pentas final.

"Mereka (Black Panthers) benar-benar bersemangat, tidak putus asa dan rajin dalam latihan. Selebihnya, kami bergantung kepada rezeki," kata Azlan.

Dalam pada itu, perejam Guardians, Mohd Afifuddin Razali, yakin slot final mampu diisi pasukannya.

Tegas Afifuddin, Black Panthers pernah ditewaskan dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini dan kejayaan itu mampu diulangi lagi.

"Selepas kalah empat kali, kami berjaya bangkit menang dengan Black Panthers. Selepas itu, kami meneruskan prestasi baik dalam perlawanan berikutnya," kata Afifuddin.

Saingan STL menuju ke kemuncaknya apabila Black Panthers dan Guardians bertemu dalam separuh akhir, Sabtu ini, jam 9.30 malam.

Siaran langsung akan dibawakan Astro Arena saluran 801 dan 802 HD.