Rekod bersih menang kesemua empat perlawanan awal, termasuk menghadiahkan kekalahan sulung kepada juara bertahan, Penang Black Panthers, nyata permulaan yang cukup mengejutkan daripada ATM Guardians.

ATM Guardians juga satu-satunya pasukan yang belum mencicirkan sebarang set, maka tidak hairanlah apabila jurulatihnya, Aswadi Abdullah, sendiri menzahirkan rasa terkejut dengan prestasi yang ditunjukkan pasukannya dalam dua minggu pertama Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018.

Bagi Aswadi, itu adalah permulaan yang sangat diharapkan tetapi apa yang menjadi keutamaan jurulatih itu ketika ini ialah memastikan pasukan menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa dan rentak positif dapat dikekalkan sehingga penghujung musim.

“Kami sebenarnya mempunyai sebuah skuad yang bagus, pemain kami sama sahaja dengan tahun lalu, cuma bezanya pasukan kami berprofil rendah dan tidak diberikan tumpuan sangat," katanya.

“Lagipun, pencapaian kami musim lalu tidaklah begitu memberangsangkan apabila menduduki tempat keenam.

"Jadi, apabila bermain kali ini, sasaran utama kami adalah memperbaiki pencapaian itu dan cuba merebut tiket bermain dalam Piala Juara-Juara STL, selebihnya adalah bonus.

“Sudah tentu prestasi dalam dua minggu ini cukup menggembirakan saya. Kami telah bermula sepertimana diharapkan tetapi kebimbangan utama saya adalah mengekalkan konsistensi ini sehingga minggu akhir.

“Jadi, kami tidak boleh terbuai atau mudah berpuas hati kerana lain pasukan, lain kekuatan mereka. Sedikit kelekaan boleh membawa padah, jadi kami perlu untuk sentiasa berada pada tahap prestasi terbaik agar tidak lari daripada sasaran sebenar memburu tiket Champions Cup, itu adalah apa yang saya titikberatkan."

Aswadi juga menyifatkan kehadiran semula apit kanan kebangsaan, Afifuddin Razali, ke dalam skuad satu tonik buat ATM Guardians. Pemain itu tidak diturunkan ketika minggu pertama STL Premier kerana masih belum mendapat lampu hijau untuk beraksi daripada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Antara pemain lain yang memperkuatkan cabaran ATM Guardians musim ini adalah tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, Abdul Muhaimi Che Bongsu, Norfaizzul Abdul Razak, Adli Abu Bakar dan apit kanan veteran, Khairudin Adnan.

Jadual minggu ketiga STL Premier :

19 Oktober (Jumaat, bermula 5 petang) :

ATM Guardians lwn Melaka Titans
Johor Tigris lwn Perak Bison
KL Thunders lwn Penang Black Panthers
Selangor Pistons lwn Kelantan Warriors

20 Oktober (Sabtu, bermula 5 petang) :

Penang Black Panthers lwn Johor Tigris
ATM Guardians lwn PDRM Defenders
Melaka Titans lwn Terengganu Turtles
KL Thunders lwn Selangor Pistons

21 Oktober (Ahad, bermula 5 petang) :

Perak Bison lwn Melaka Titans
Kelantan Warriors lwn ATM Guardians
Terengganu Turtles lwn PDRM Defenders
Selangor Pistons lwn Penang Black Panthers