Rombakan drastik benar-benar diperlukan ATM Guardians bagi memulihkan semangat dan reputasinya selaku juara bertahan sebelum kembali ke arena Liga Sepak Takraw (STL) 2016 bagi minggu kedua dengan menentang Johor Tigris, Sabtu ini.

Servis kurang konsisten, lontaran tersasar buat tekong dan pengaturan permainan yang mudah dibaca, menghukum skuad Aswadi Abdullah ini sehingga dikejutkan Melaka Titans 13-21, 18-21, 18-21 dan Kelantan Warriors 21-23, 16-21, minggu lalu, wajar diatasi segera.

“Memang patut kerja keras kami digandakan bagi minggu ini. Corak permainan kami juga kena ubah dan strategi lain perlu dirangka. Lawan seterusnya bakal lebih mencabar dan lebih kuat,” kata ketua jurulatih ATM berusia 36 tahun ini.

Sekalipun tidak menamakan sesiapa dalam skuad lapan pemain yang bakal diturunkan atau digantikan, Aswadi jelas agak bimbang dengan mutu permainan kedua-dua tekongnya, Nazmi Najib dan Hasman Che Hamid, di Stadium MPSJ, Serdang Jaya.

“Afiffudin pula ada masalah lontaran bola walaupun daripada segi rejaman dan tampanan, dia memang mantap dan meyakinkan,” katanya yang mempunyai dua lagi apit kanan, Khairudin Adenan dan Asrie Isa, untuk cuba dipertaruhkan kali ini.

Malah, jurulatih Kelantan Warriors, Rozi Rahman, yang mendapati servis Nazmi yang masuk dalam set kedua, tidak begitu menggugat pertahanan anak-anak buahnya dalam pertarungan 55 minit, Ahad lalu, mengulas, “Saya tidak bimbang dengannya sebab akhir-akhir ini, dia kadang-kadang baik, kadang-kadang tidak.”

Aswadi tidak pula cepat untuk menekan butang panik. Baginya, Guardians mungkin seperti musim lalu yang agak lambat panas untuk menemui rentak dan suasana permainan pada peringkat awal tetapi dari minggu ke minggu mampu mencapai peningkatan sebelum mencapai kualiti sebenar pada penghujungnya.

Ketua jurulatih Kuala Lumpur Thunder, Azahar Sarabini, pula mengakui rombakan pemain bagi menghadapi Penang Panthers dan Warriors, memang tidak dapat dielakkan, apatah lagi selepas prestasi teruk mereka dibenam Kedah Eagles 12-21, 9-21, Jumaat lalu.

“Kami mendapat semula khidmat Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi dan Farid Aziz sebagai tekong yang terlibat dengan satu kejohanan terbuka, minggu lalu. Apit kiri mungkin milik Syafiq Ab. Rahman yang lebih serasi dengan mana-mana tekong ini atau untuk mengatur rejaman Zamree Dahan atau Hafiz Rahman,” katanya.

Azhar turut menjangkakan pertembungan Thunder-Panthers, Jumaat ini, malah Thunder-Warriors, Ahad ini ibarat ‘perang tekong’ yang pasti menarik dan ditunggu-tunggu ramai peminat kerana melibatkan ketiga-tiga pemain terbaik negara dan berpengalaman antarabangsa di posisi itu.

“Panthers sudah tentu mempertaruhkan tekong Malaysia, Syahir Rosdi, dan dalam tiga pertemuan lalu dengan Ijat Bom (gelaran Aizat) pada kejohanan lain, permainan biasanya terheret sehingga set penentuan. Begitu juga dengan Mohd. Hisyam Mat atau digelar Pokse yang dianggap tonggak Kelantan,” katanya.

Hisyam, 25, tidak dapat beraksi minggu lalu kerana baru kematian ayahnya, namun Rozi yakin kepulangannya nanti mampu menguatkan semula senjata servis dan buruan mata mudah yang benar-benar ditagih oleh Warriors, terutama ketika kalah kepada Panthers 17-21, 13-21 dalam tempoh 45 minit.