Ahmad Ismail sedia lawan habis-habisan

Oleh Ammar Hakim 29 April 2021 5945
Ahmad Ismail sedia lawan habis-habisan
Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, sedia berjuang habis-habisan untuk menegakkan kebenaran bagi badan induk itu setelah mereka digantung serta-merta oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Ia dilihat sebagai serangan peribadi presiden ASTAF, Datuk Halim Kader ke atas Malaysia selepas tamat mesyuarat agung pemilihan exco organisasi itu Mac lalu.

Empat surat diutuskan dalam tempoh sebulan bermula dengan arahan penggantungan presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan, Wan Mohd Husni Abdullah 2 April lalu  sehinggalah terbaru arahan penggantungan PSM secara keseluruhan, yang menyaksikan sebarang aktiviti yang berkaitan takraw bawah badan induk itu tidak dibenarkan untuk berlangsung.

Namun Ahmad tegas memberi jaminan, penggantungan itu tidak akan menjejaskan persiapan skuad negara yang kini berlatih untuk menghadapi Sukan SEA Vietnam November depan memandangkan program tersebut di bawah kelolaan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Saya mengumumkan bahawa, bukan PSM tetapi Ahmad Ismail yang akan melakukan. Jangan sentuh PSM, awak boleh buat apa sahaja kepada Ahmad Ismail tetapi bukan PSM," kata Ahmad.

Ahmad juga telah pun menyerahkan kepada pihak peguam untuk menjawab segala surat daripada ASTAF, dan sekiranya berlarutan, PSM sedia untuk membawa isu ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

"Jangan bimbang, STL (Sepak Takraw League) akan diteruskan. Segala pembangunan akan terus. Kalau tak boleh pakai (atas nama) Ahmad Ismail, saya pakai Ahmad Aizat, tak boleh Ahmad Aizat, saya pakai Ahmad Albab supaya sepak takraw terus berjalan.

"Yang dilarang adalah PSM, itu pun kalau dia ada hak untuk larang. Saya sedang membawa surat ini ke mahkamah. Sudah pasti saya akan meminta peguam saya untuk membatalkan keputusan ini. Buat peminat sepak takraw, selagi Ahmad Ismail bernyawa, sepak takraw akan terus hidup," katanya lagi.

Sementara itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersedia meletakkan sepak takraw di bawah bendera MOM untuk ke Sukan SEA Hanoi sekiranya penggantungan ISTAF ke atas PSM kekal.

"Apabila sampai ke tahap penggantungan, sukan yang terlibat akan berada di bawah naungan MOM dan saya berharap pihak PSM dapat berunding dengan ASTAF bagi mendapatkan jalan penyelesaian yang terbaik," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

"Perkara paling utama adalah pembangunan serta peningkatan mutu sukan sepak takraw di Malaysia.".

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen