ADAMAS sahkan enam pemain, tiga pegawai sepak takraw digantung sementara

Oleh Staff Writer 24 November 2016 4
 ADAMAS sahkan enam pemain, tiga pegawai sepak takraw digantung sementara
Ketua Unit Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), Nishel Kumar, mengesahkan enam pemain dan tiga pegawai skuad sepak takraw negara digantung buat sementara atas dakwaan enggan menjalani ujian doping dalam Kejohanan Dunia Piala Raja Thai di Bangkok, bulan lalu.

Ia tamparan hebat buat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) apabila sembilan individu digantung serentak.

ADAMAS dalam kenyataan media mengesahkan Persekutuan Sepak Takraw Anatrabangsa (ISTAF) menggantung enam pemain dan tiga pegawai kerana gagal menjalani ujian doping ketika saingan di Bangkok sedang berlangsung.

Apa yang mengecewakan, hanya Malaysia yang gagal berbuat demikian sedangkan peserta dari negara lain mematuhi arahan.

Penggantungan bermula Selasa lalu dan mereka mempunyai tempoh hingga 6 Disember depan untuk mengemukakan pembelaan.

"Semua negara lain menjalani ujian doping kecuali Malaysia. Semasa perlawanan berlangsung, hanya Malaysia tidak memberikan sampel air kencing.

"Dalam notis yang telah dikeluarkan, ia memberitahu bahawa ISTAF telah mengeluarkan penggantungan sementara kepada enam atlet dan tiga pegawai tersebut kerana telah melanggar peraturan anti doping," katanya.

Penggantungan itu bermakna mereka tidak dibenarkan menyertai kejohanan atau terbabit dengan sebarang aktiviti sepak takraw sehingga siasatan selesai.

Perbuatan mengelak atau enggan menjalani ujian doping tanpa alasan munasabah merupakan kesalahan di bawah artikel 2.3 kod Agensi Anti Doping Dunia (WADA) dan boleh dijatuhkan hukuman penggantungan empat tahun.

"Pegawai penyelia anti doping telah mengeluarkan kenyataan bahawa enam atlet tersebut enggan memberikan sampel air kencing.

"Satu lagi kenyataan telah dikeluarkan oleh ISTAF, yang juga menyelia anti doping. Jadi dua kenyataan yang telah dikeluarkan itu merupakan kenyataan yang kukuh untuk membuktikan atlet serta pegawai negara engan memberikan sampel air kencing," tambah Nishel Kumar.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia, Datuk Ahmad Ismail, berkata badan induk kebangsaan itu akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut esok.

"Insya-Allah paling lewat esok kami akan mengeluarkan kenyataan berkaitan isu tersebut," katanya.



Anda juga boleh mendapat berita ini melalui Stadium Astro app. Muat turun sekarang https://www.stadiumastro.com/ms/mobile-app

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen