Piala Juara-Juara STL: Warriors akur tersingkir awal

Oleh Farizal Yusoff 26 Disember 2019 3884
Piala Juara-Juara STL: Warriors akur tersingkir awal
Kurang keserasian dan kecederaan disimpulkan sebagai punca Kelantan Warriors terkandas di peringkat kumpulan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru.

Impian skuad Pantai Timur itu untuk melangkah ke separuh akhir musnah apabila tumbang straight set 18-21, 14-21 kepada pasukan jemputan, Korea Haechi, malam tadi. 

Warriors yang dibimbing jurulatih, Awi Awang, menurunkan tekong terbaik STL, Aizat Azmi, untuk bergandingan bersama pelibas import, Wutthikai Rattanasut, dan Aidil Aiman Azwawi tidak mempunyai jawapan terhadap kekuatan serangan yang dimiliki skuad Korea Haechi.

Pengurus Warriors, Ahmad Syazwan  Muhammad Hassan, akur dengan kekuatan Korea Haechi sambil menyifatkan kurang keserasian dan kecederaan sebagai punca pemainnya terkandas di peringkat kumpulan.

"Kami mulakan latihan kejohanan ini agak lewat. Jurulatih (Awi Awang) hanya ada empat hari untuk mengadakan latihan dan perkemaskan regu.

"Keserasian tidak dapat dibina dalam tempoh tersebut. Kemudian, tekong utama, Aizat Azmi, pula diberi pelepasan untuk bersama isteri yang baru selesai menjalani pembedahan.

"Apit kanan, Naim Izani, pula cedera dan terpaksa ambil suntikan sebelum turun ke gelanggang.

"Semua keadaan yang berlaku agak mengganggu taktikal yang dirancang jurulatih, namun secara keseluruhannya, pemain telah berikan yang terbaik untuk menghadapi saingan yang cukup mencabar musim ini," katanya.

Ahmad Syazwan juga memohon maaf kepada semua penyokong Warriors yang telah memberi sokongan padu kepada pasukan biarpun mereka gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Maaf atas kegagalan ini. Kita akan perbaiki segala kekurangan yang ada. Insya-Allah, Warriors akan tampil lebih kuat untuk tahun depan," katanya.

Untuk rekod, dalam Kumpulan A, Warriors hanya menang sekali ke atas Singapore Lions 2-0 tetapi merekodkan tiga kekalahan untuk sekadar menduduki tangga keempat.

Sementara itu, dalam perhitungan terakhir malam ini, Johor Tigris mengesahkan tempat ke separuh akhir apabila menundukkan Great Wall China. 

Tetapi pasukan jemputan itu sempat menghadirkan debaran buat Johor sebelum tunduk 15-21, 21-16, 8-21. 

Untuk itu, pertemuan peringkat separuh akhir malam esok menyaksikan Johor akan berentap dengan Perak Bison disusuli aksi di antara Penang Black Panthers dan Korea Heichi. 
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen