Piala Juara-Juara STL: Pengalaman jadi bekalan KL Thunder bergelar juara

Oleh Ammar Hakim 6 Mac 2021 2139
Piala Juara-Juara STL: Pengalaman jadi bekalan KL Thunder bergelar juara
Saingan Piala Juara-Juara STL melabuhkan tirai dengan menyaksikan KL Thunder mudah menundukkan Penang Black Panthers 2-0 di Iskandar Malaysia Studios, Johor Bharu, sebentar tadi.

Thunder membariskan trio utama, Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan Amir (pengumpan) dan Azlan Alias (perejam) sementara Black Panthers menurunkan trio yang sama mengatasi Johor Tigris dalam aksi terdahulu --Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Shahalril Aiman Halim (pengumpan) dan Zulhusni Basri (perejam).

Set pertama Thunder menang mudah, 21-8, lebih separuh mata dipungut menerusi servis kencang Syahir dan ditambah beberapa percubaannya dalam melakukan libasan.

Black Panther memasang hajat untuk kembali mengikat perlawanan, aksi agresif di awal set kedua menerusi beberapa rejaman daripada Aiman namun pengalaman menjadi pemisah apabila Thunder kemas mempamerkan permainan yang sempurna dengan Syahir -- meraih 19 mata sepanjang dua set menerusi servis -- terus cemerlang bagi memastikan kemenangan 21-9 sekaligus bergelar juara.

Ternyata ia merupakan musim terbaik bagi KL Thunder selepas menjuarai saingan liga sebelum ini.

"Sepanjang saingan ini, saya akhirnya berpuas hati dengan permainan saya hasil apa yang dipamerkan oleh pasukan," kata Syahir.

"Kami meletakkan harapan untuk bermain dengan baik dan ianya dapat diterjemah dalam gelanggang.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan kepada KL Thunder sepanjang musim ini dan terus menyokong kami."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen