Piala Juara-Juara STL: Bison raih tempat ketiga 

Oleh Azizan Hashim 28 Disember 2019 792
Piala Juara-Juara STL: Bison raih tempat ketiga 
Perak Bison menduduki tempat ketiga Piala Juara-Juara STL apabila mengatasi Korea Haechi 2-1 di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, juara liga berkenaan menebus kekecewaan gagal ke final trofi berprestij itu, yang  membabitkan 10 pasukan termasuk empat pasukan jemputan. 

Kemenangan itu adalah yang kedua ke atas Haechi selepas menundukkan lawan sama 2-1 dalam pusingan awal Kumpulan A.

Dalam perlawanan hari ini, trio Bison, yang terdiri daripada Natthawut Naewprom, Azwan Muhrim dan Fadil Mustapha, mendapatkan kembali sentuhan untuk menjinakkan lawan 21-13 dalam set pertama. 

Begitupun, sedikit kesilapan dalam set kedua menyaksikan mereka tumpas 17-21 tetapi trio itu bangkit dalam set penentuan dengan persembahan bertenaga. 

Bison meluru ke depan 9-1 sebelum membenarkan lawan mengutip empat mata dengan kedudukan menjadi 17-5 sebelum menamatkannya 21-7. 

Dengan kemenangan itu, Bison pulang dengan wang hadiah RM7,000 manakala Haechi mengutip RM5,000.


Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen