Mountaineers anggap pengalaman semusim berada di Liga Premier cukup berguna

Oleh Farizal Yusoff 9 Mei 2020 30
Mountaineers anggap pengalaman semusim berada di Liga Premier cukup berguna
Biarpun semusim sahaja berada dalam saingan Liga Premier, Sabah Mountaineers mahu cepat bangkit dengan memberikan aksi terbaik dalam saingan Divisyen Satu Liga Sepak Takraw (STL), Ogos depan.

Sebagai pendatang baharu, Mountaineers jelas gagal bersaing dan faktor kekurangan pengalaman menyebabkan skuad negeri di bawah bayu ini sekadar mengecapi dua sahaja kemenangan ke atas PDRM Defenders dan Terengganu Turtles sekaligus menyebabkan mereka tersingkir.

Kapten Mountaineers, Daut Amba, akur dengan penyingkiran itu dan berjanji berusaha lebih gigih untuk kembali semula ke liga utama biarpun persiapan secara rasmi masih belum dapat dilakukan akibat Perintah Kawalan Gerakan (PKP).

"Kami akur dengan segala kekurangan yang dimiliki untuk bersaing dengan pasukan yang sudah lama beraksi dalam Liga Premier.

"Namun, beraksi menentang pasukan yang lebih berpengalaman dan disaksikan ribuan penyokong menjadi pengalaman terbaik untuk Mountaineers.

"Kami belum lagi dikumpulkan secara rasmi tetapi tetap melakukan latihan di rumah masing-masing bagi menjaga kecergasan diri,"ulasnya.

Daut yang juga bekas jurulatih skuad wanita kebangsaan, mahu menjadikan kejayaan Selangor Piston kembali semula ke Liga Premier sebagai motivasi terbaik membakar perjuangan Mountaineers.

"Mereka (Piston) berjaya tunaikan janji untuk turun sekejap sahaja dan kejayaan mereka patut kami contohi," tambahnya.

Kredit Foto: STL

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen