Hisyam yakin PKP tidak jejas prestasi atlet

Oleh Farizal Yusoff 17 April 2020 164
Hisyam yakin PKP tidak jejas prestasi atlet
Tekong Negeri Sembilan Antlers, Hisyam Mat, yakin Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan kerajaan akibat penularan wabak Covid-19 tidak akan menjejaskan prestasi seseorang atlet.

"Alhamdulillah, keputusan yang terbaik daripada kerajaan dan kini kita sudah berada dalam fasa ketiga PKP sehingga 28 April ini.

"Kita perlu akur dengan keputusan kerajaan tetapi dalam masa yang sama perlu menjalani latihan di rumah masing-masing untuk mengekalkan kecergasan diri.

"Saya akan luangkan masa hampir sejam setiap hari untuk tingkatkan kemahiran dan berbincang dengan jurulatih melalui media sosial untuk bertukar pendapat," ujarnya.

Tekong kidal kelahiran Kota Bharu berusia 29 tahun ini, mengakui memberi lebih tumpuan menghasilkan pelbagai servis berkualiti untuk menghadapi musim baharu Liga Sepak Takraw (STL), Ogos depan.

"Dalam permainan sepak takraw, servis permulaan daripada tekong cukup penting. Servis yang baik mampu membawa mata mudah kepada pasukan.

"Saya mahu terus pelbagaikan servis yang boleh mengelirukan lawan dan insya-Allah, selepas PKP, kami (skuad Antlers) akan adakan latihan intensif,"ujarnya.

Untuk rekod, bekas tekong Kelantan Warriors ini berjaya membantu Antlers menduduki tangga keenam liga dan layak beraksi di Liga Juara-Juara STL, Disember lepas.

Kredit Foto: STL

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen