Penyerang hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil, terpaksa menunda hasrat membuat penampilan terakhir Piala Sultan Azlan Shah selepas saingan yang dijadualkan September depan itu dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.

Tonggak utama skuad kebangsaan berusia 34 tahun itu merupakan pemain paling senior dalam skuad hoki negara.

Penyerang kelahiran Perlis itu mengumpul 297 penampilan selain 12 kali menyertai Piala Sultan Azlan Shah.

Dia merancang untuk membuat penampilan terakhir pada tahun ini sebelum memberi laluan kepada pemain muda tetapi keputusan itu terpaksa dipertimbangkan semula.

"Kami terpaksa akur kerana ia akan memudaratkan jika saingan diteruskan. Daripada segi pendedahan, saingan ini sepatutnya menjadi medan untuk jurulatih menguji skuad yang baru dibentuk. Saya memandang ke hadapan untuk melihat perancangan jurulatih selepas ini," katanya.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam saingan itu adalah bergelar naib juara sebanyak lima kali.

Keputusan itu juga bermakna Malaysia hilang 11 perlawanan termasuk lima aksi pemanas badan menentang Kanada.

"Persatuan telah bersetuju untuk membatalkan kejohanan ini dan dibawa ke tahun depan. Kami juga akan memaklumkan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengenai pembatalan ini untuk dimaklumkan kepada negara terlibat," kata Presiden Persatuan Hoki Perak, Mohd Sayuti Samat.