Ketua jurulatih hoki negara, Roelant Oltmans, berani mengambil risiko apabila menggugurkan lima pemain utama termasuk adik beradik, Faizal dan Fitri Saari, di sebalik tugasan perlu mencapai sasaran ke final Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak, April depan.

Rombakan terhadap The Malaysian Hockey Tigers sudah bermula.

Seramai 34 pemain dipanggil untuk melaporkan diri dalam sesi latihan pertama, Isnin depan, tanpa membabitkan pasangan adik beradik termasuk ketua pasukan, Sukri Mutalib, Joel Samuel Van Huizen dan Nabil Fiqri Mohd Noor.

Joel mengambil keputusan untuk fokus kepada pekerjaan sementara Nabil pula berhasrat untuk beraksi dalam Liga Perancis.

"Saya mahu mendapatkan pemain-pemain yang mempunyai sesuatu yang istimewa.

"Saya pernah melihat seorang pemain itu melakukan jaringan cantik tetapi adakah ia sudah memadai untuk terpilih menyertai skuad kebangsaan bagi (projek) jangka masa panjang?

"Saya mahu pemain tengah yang mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam pasukan selain berusaha keras di atas padang, ia satu tuntutan di peringkat antarabangsa," katanya dalam sidang media di Pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Bukit Jalil, hari ini.




11 pemain baru -- antaranya pemain tengah UniKL, Mohd Faid Farhard Mohd Shah, dan penyerang Hockademy KL, Arif Sabron -- turut dibawa masuk.

Ironinya, kelompok pemain ini belum pernah mewakili negara di bawah kendalian Oltmans yang perlu mara ke final PSAS atau jawatannya mungkin bakal tergugat.

"Kami mahu memenangi PSAS, ia sentiasa menjadi sasaran kami dalam setiap kejohanan.

"Adakah ia realistik? Kita akan mengetahuinya dalam kejohanan kelak.

"Sudah tentu kami mahu meraih pencapaian memberangsangkan tetapi langkah (rombakan) ini demi projek jangka masa panjang," tambahnya.

Dalam masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abd Razak, mendedahkan jurulatih kelahiran Belanda itu mendapat sokongan penuh daripada KHM.

"Kami menaruh kepercayaan terhadap tindakan Oltmans, kami gembira dengan senarai nama yang dikemukakannya," katanya.