Jurulatih Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Muhammad Harun Al-Rashid, berdepan tugas getir menjelang Liga Hoki Malaysia (LHM) apabila tiga pemain import mereka hanya akan tiba pada saat-saat akhir selain hilang khidmat Muhammad Razie Abdul Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor.

Justeru, sukar untuk Harun mengekalkan reputasi KLHC sebagai pasukan paling berjaya dalam sejarah LHM.

Tiga pemain import diketuai pemain Australia, Aaron Kleinschmidt, hanya akan tiba dua hari sebelum perlawanan sulung.

Malah, Razie dan Nabil tidak dapat membantu kerana masih terikat dengan Kursus Latihan Asas Inspektor Polis.

Ini bermakna Harun akan bergantung kepada kudrat pemain tempatan yang diketuai kapten, Sukri Mutalib.

"Persefahaman dalam latihan mungkin tidak dapat membantu kami.

"Tahun ini, saingan LHM akan bermula dengan Piala Tan Sri P. Alagendra. Kalau kami dapat mara ke pusingan kedua, mungkin kami akan dapat membentuk keserasian dengan pemain import," kata Muhammad Harun.

Musim lalu, KLHC muncul naib juara liga dan Piala TNB.

Bagi saingan musim baru nanti, skuad yang berpangkalan di ibu kota itu akan menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam pusingan pertama Piala Tan Sri Alagendra, Jumaat depan.

Walaupun bergelut, KLHC tetap menyenaraikan Razie dan Nabil kerana menunggu mereka menamatkan kursus sebelum kembali ke pangkuan pasukan pada pusingan kedua liga.

"Dua pemain ini masih dalam latihan yang akan tamat bulan ini.

"Kami tetapi menyenaraikan mereka dengan harapan agar mereka dapat beraksi dengan KLHC."