Tidak mustahil tumbangkan JDT -- Sathianathan

Oleh Staff Writer 17 Oktober 2019 2018
Tidak mustahil tumbangkan JDT -- Sathianathan
"Bukan mudah tapi tidak mustahil," kata ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan, menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Larkin malam lusa.

Dia sedar pasukan yang akan dihadapi mereka itu bukan lawan yang mudah, namun tetap menyimpan hasrat untuk menggegar gawang JDT di gelanggang mereka.

Justeru, anak buahnya dituntut untuk mempamer aksi cemerlang dan mencetak jaringan untuk dibawa pulang menjelang 90 minit kedua di Shah Alam seminggu kemudian.

"Mereka (JDT) banyak menjaringkan gol di Larkin, jadi kami kena tahu bagaimana untuk bertahan dan mengambil kesempatan untuk menyerang dan dapatkan satu atau dua gol bagi perlawanan timbal balik.

"Tetapi yang penting, kami perlu bermain baik, jangan beri mereka ruang dan masa untuk mengawal permainan.

"Mungkin mereka boleh mengawal permainan tetapi jangan beri mereka jaringkan gol," katanya.

Kehadiran semula tonggak import, Sandro Da Silva, dan pemain berpengalaman, Syazwan Zainon, belum cukup untuk melegakan Sathianathan.

Lebih memeningkan kepalanya apabila pertahanan tengah, Taylor Regan, berdepan kecederaan saat-saat akhir dan memerlukan tempoh sehingga esok untuk menentukan status kecergasannya.

"Semalam, Taylor mengalami kecederaan tetapi saya harap dia akan pulih.

"Hari ini, dia tidak berlatih dan kami akan lihat (keadaannya) pagi esok," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen