Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, membuktikan pasukannya memiliki sentuhan magis apabila menyingkirkan Johor Darul Ta'zim (JDT) buat kali kedua dalam kempen Piala Malaysia, kali ini di peringkat separuh akhir menerusi kemenangan agregat 3-2.

TFC menempah slot ke final Piala Malaysia 2018 ​​​​​​​apabila mengikat JDT 2-2 untuk menang dengan agregat 3-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Fernando Andres Marquez dan Gonzalo Gabriel Cabrera meletakkan tuan rumah mendahului permainan, sekali gus menghidupkan peluang mereka untuk melangkah ke final, tetapi penyerang TFC, Tchetche Kipre, meledak dua gol bagi meranapkan impian JDT untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lalu.

"Saya telah memberitahu sebelum ini, JDT boleh diatasi dan ia adalah satu tugas yang tidak mustahil," kata Irfan.

Pengurus JDT, Luciano Figueroa, menolak ketiadaan pemain tengah, Fernando Elizari, dalam kesebelasan utama sebagai punca keputusan seri 2-2 dengan TFC, sekali gus tersingkir daripada Piala Malaysia.

"Kami mencipta banyak peluang. TFC ada hanya empat atau lima peluang dan menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan. Tiada alasan untuk JDT tersingkir dan saya turut bersedih,," katanya.