Shahrul idam ulangi kejayaan Syamsul bersama Perak

Oleh Penulis Jemputan 22 Oktober 2018 1271
Shahrul idam ulangi kejayaan Syamsul bersama Perak
Kapten Perak, Shahrul Mohd Saad, menyimpan cita-cita untuk mengikut jejak langkah abangnya, Syamsul,yang pernah menjulang Piala Malaysia edisi 2000 apabila skuad The Bos Gaurus membuat perhitungan dengan Terengganu FC (TFC) dalam aksi final di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Lapan belas tahun lalu, Perak menjulang Piala Malaysia setelah menundukkan Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Shah Alam untuk dinobatkan sebagai juara dan Syamsul beraksi sebagai pemain pertahanan.

Kini, Shahrul berpeluang untuk mengulangi legasi abangnya itu setelah Perak menamatkan penantian 17 tahun untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia apabila menundukkan Sabah 7-2 secara aggregat.

Untuk rekod, Shahrul pernah dibimbing abangnya, Syamsul, ketika musim pertamanya di Perak pada 2016.

"Menjulang Piala Malaysia adalah sasaran saya. Abang saya merupakan idola saya dalam bola sepak. Kejayaan yang diraihnya ketika bergelar pemain mahu saya ulangi bersama Perak," ujarnya.

Shahrul juga cukup teruja untuk membantu The Bos Gaurus membawa pulang Piala Malaysia ke Perak memandangkan ini juga adalah pentas final yang pertamanya sepanjang tiga musim bersama mereka.

Pertemuan final Sabtu ini juga boleh diibaratkan sebagai ulangan edisi 2001, di mana ketika itu, Perak tewas kepada Terengganu, sekaligus gagal untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun sebelumnya.

"Kami mahu membawa pulang trofi Piala Malaysia buat pertama kali sejak 2001. Seluruh pasukan tidak sabar menantikan perlawanan ini."

Imej: Asiana

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen