Shahrul gembira kehadiran Isic sebagai gandingan di Perak

Oleh Muzaffar Musa 6 November 2020 4335
Shahrul gembira kehadiran Isic sebagai gandingan di Perak
Kapten Perak, Shahrul Saad, percaya rombakan di bahagian pertahanan menerusi kehadiran Tarik Isic daripada Perak II dapat menyelesaikan masalah kepincangan benteng skuad The Bos Gaurus itu menjelang pertemuan dengan Kelantan United dalam pusingan pertama Piala Malaysia malam esok.

Selepas kempunan menjadi naib juara Liga Super 2020, Perak kini mendambakan gelaran juara Piala Malaysia sebagai pengubat duka.

Misi itu akan bermula dengan perlawanan pusingan pertama menentang Kelantan United di Ipoh dan Isic kini terpilih sebagai pengganti Antony Golec, yang sudah angkat kaki daripada pasukan itu.

Khidmat Isic, yang berketinggian 192 sentimeter, sudah pasti ditagih Perak di bahagian benteng selepas dibolosi enam gol dalam dua perlawanan terakhir.

Sekiranya diturunkan, dia berkemungkinan besar akan bergandingan dengan ketua pasukan itu, Shahrul.

Mengulas mengenai pemain import dari Bosnia Herzegovina itu, Shahrul berkata kepada Nadi Arena: "Saya rasa memang khidmatnya amat diperlukan kerana kita tahu pasukan lain kini memiliki ramai penyerang import.

"Dengan kehadirannya, ia dapat membantu kami daripada segi pertahanan dan saya harap dia dapat melakukan yang terbaik bersama pasukan."

Dalam pada itu, ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, tidak memberi sebarang jaminan pemain itu akan diturunkan dalam perlawanan berkenaan.

Ia kerana dia mempunyai banyak pilihan, sama ada pemain muda atau senior tempatan, yang boleh mengisi posisi itu.

"Semua pemain memiliki peluang untuk bermain. Kami menjalani latihan hari ini dan sekiranya semua pemain beraksi baik, saya akan pening kepala untuk memilih pemain terbaik esok.

"Saya boleh memilih pemain senior dan jika tidak, saya masih boleh memilih pemain muda," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen