Selangor gugur sekurang-kurangnya lima pemain

Oleh Muzaffar Musa 20 Oktober 2020 17741
Selangor gugur sekurang-kurangnya lima pemain
Sekurang-kurangnya lima pemain Selangor termasuk yang berstatus senior akan dilepaskan skuad Gergasi Merah itu menjelang sepak mula saingan Piala Malaysia awal bulan depan.

Antara yang berada dalam senarai itu adalah pertahanan berdarah campuran, Nick Swirad.

Difahamkan pengguguran kelompok itu adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pemain muda dan atas persetujuan bersama.

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Michael Feichtenbeiner berkata: "Nick merupakan salah seorang pemain yang tiada dalam perancangan kami musim depan. Dia tidak akan bermain dalam Piala Malaysia.

"Buat masa ini, ada beberapa pemain yang sudah diberitahu bahawa mereka tiada dalam perancangan saya kerana kami memerlukan ruang untuk pemain muda.

"Jika kesemua pemain yang sudah berumur masih ada dalam pasukan, ditambah pula dengan enam atau tujuh pemain baru, anda akan memiliki terlalu banyak pemain dalam pasukan, jadi ia perlu dilakukan.

"Kami sudah berbincang dengan mereka, pihak pengurusan sudah berbincang dengan pemain, jadi saya fikir kami sudah mendapatkan penyelesaian terbaik buat semua pihak.

"Sudah pasti pemain yang terlibat berasa kecewa tetapi dalam bola sepak, adakalanya perkara seperti ini diperlukan," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen