Sebanyak 72,000 tiket diperuntukkan untuk aksi final Piala Malaysia pada 30 Oktober ini yang menyaksikan pertemuan ulangan final 2015 di antara juara bertahan, Selangor, dan Kedah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) masing masing akan diperuntukkan 30,000 tiket.

Sebanyak 750 tiket untuk kanak-kanak juga akan diperuntukkan kepada KFA dan FAS.

Hanya 10,000 tiket akan dijual di atas talian, termasuk 500 tiket buat kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

"Kalau kami melebihkan penjualan tiket atas talian, kedua-dua pasukan akan mendapat tiket yang kurang untuk dijual di stadium mereka.

"Jadi, kami perlu mencapai keseimbangan dan membiarkan tiket sama rata dijual," kata Kevin.

Tiket akan mula dijual serentak pada 26 Oktober ini di Alor Setar, Shah Alam dan di atas talian pada jam 10 pagi.

Kevin turut menegaskan, final edisi ke-90 Piala Malaysia kali ini akan berlangsung pada Ahad selepas mendapat persetujuan KFA, FAS dan pihak polis.

"Kalau perlawanan diadakan pada hari Jumaat, ia akan menyebabkan kesesakan, ditambah pula dengan mereka yang balik dari kerja.

"Jadi, aksi final akan diadakan pada Ahad dan kedua-dua pasukan turut bersetuju dengan cadangan ini," tambahnya.

Kevin ditemui ketika Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala Malaysia 2016 yang turut dihadiri Setiausaha Agung KFA, Datuk Amiruddin Omar dan Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim.