Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, terkilan pasukannya sekadar seri 1-1 ketika menentang PDRM FA dalam pertemuan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Sathianathan berkata anak buahnya kerap kehilangan bola di bahagian tengah dan gagal mengambil peluang untuk menambah lebih banyak jaringan.

"Daripada segi permainan, sememangnya sukar bermain dalam keadaan padang yang basah tetapi ini bukan alasan kerana saya beritahu kepada pemain untuk bermain dari bahagian tepi, namun kami lebih banyak hilang bola di bahagian tengah," katanya.

"Ada beberapa pemain yang saya lihat tidak menunjukkan persembahan yang memberangsangkan dan sebagai jurulatih saya akan tegur jika pemain sering melakukan kesalahan yang sama."

Sathianathan berkata dia terpaksa mengambil risiko dengan merehatkan beberapa pemain yang tidak menunjukkan pretasi terbaik untuk perlawanan akan datang.

Sementara itu, pengendali PDRM, E. Elavarasan, berkata nasib menyebelahi pasukannya walaupun Selangor lebih mendominasi perlawanan.

"Walaupun sekadar mengutip satu mata, saya rasa ia penting untuk memberi motivasi kepada pemain bagi menghadapi perlawanan seterusnya," katanya.

Dalam perlawanan itu, Selangor mendahului menerusi jaringan Sandro Da Silva pada minit ke-52 sebelum PDRM menyamakan kedudukan dengan jaringan Argzim Redzovic pada minit ke-59.

-- BERNAMA