Pengendali Felda United, B. Sathianathan, menyifatkan jurulatih terdahulu gagal menjaga kepentingan pasukannya sehingga membiarkan pemain tidak berkualiti berada dalam pasukan besar seperti Felda.

Selepas kegagalan The Fighters meneruskan kemaraan ke pentas final Piala Malaysia 2017, Sathianathan menuding jari kepada pengendali terdahulu sambil mempersoalkan pilihan pemain yang dibawa pada awal musim.

Dia, yang hanya memulakan tugasan selaku jurulatih Felda pada Februari lalu, terpaksa menerima pilihan daripada jurulatih sebelumnya, Azmi Mohamad, dan hanya mampu akur dengan pilihan terhad yang dimiliki dalam pasukan.

Bekas pengendali kebangsaan itu juga mengakui barisan yang dimilikinya ketika ini hanya sekadar memenuhi senarai pemain dan perkara itu menjadi punca utama yang menghalang Felda untuk mara lebih jauh musim ini.

"Itu kesilapan keseluruhan Felda pada musim ini. Mereka tidak mempunyai pengganti. Pemain-pemain yang berkualiti telah dilepaskan, kemudian menambah senarai daripada bekas pemain dari Kuantan FA, Sime Darby. Tidak boleh.

"Pasukan besar seperti Felda tidak boleh menjadi begitu kerana perlu bersaing dalam Piala Malaysia, Piala FA dan Piala AFC," katanya.

Sathiananthan juga melahirkan rasa bangga setelah berjaya menamatkan kempen Liga Super 2017 di tempat ketiga dan menempatkan Felda dalam kelompok empat terbaik Piala Malaysia.

Dia menyasarkan untuk mengutip sekurang-kurangnya satu piala pada musim depan selepas dua tahun menyepi daripada bidang kejurulatihan.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan laluan musim ini selepas saya mengambil alih. Saya masih ingat ketika itu Felda berada pada kedudukan ke-10 atau 11 tetapi akhirnya menamatkan saingan liga di tempat ketiga dan sampai ke separuh akhir Piala Malaysia.

"Terima kasih kepada pemain-pemain atas komitmen yang diberikan. Saya yakin pada tahun depan, Felda akan berada dalam final," katanya lagi.