Skuad Sabah bukan sahaja perlu mencari lebih daripada lima gol untuk merampas slot ke final, malah mereka terpaksa mengharungi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Perak di Stadium Likas tanpa tiga tonggak utama yang dilanda kecederaan.

Barisan pemain Sabah sudah melupakan igauan di Stadium Perak ketika dibelasah 5-0 dalam separuh akhir pertama 7 Oktober lalu.

Walaupun harapan tipis disandarkan kepada Sabah untuk menamatkan kemarau ke pentas final sejak tahun 2003, namun mereka meletakkan sasaran realistik untuk sekurang-kurangnya mencari kemenangan dalam perlawanan timbal balik, malam ini.

Bagaimanapun, Sabah terpaksa melupakan khidmat tiga tonggak utama, iaitu Mohd Azizan Nordin, Rawilson Batuil dan pemain import, Hector Omar Ramos, yang ditimpa kecederaan.

"Sabah mencari kemenangan dalam perlawanan ini bagi mendapatkan semula maruah apabila tewas dengan jaringan besar di Ipoh," kata ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating.

Sabah sebenarnya mempunyai rekod yang baik di laman sendiri, dengan melakar dua kemenangan daripada tiga aksi dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Likas, begitu juga ketika aksi suku akhir kedua menang 1-0 ke atas Kelantan.

"Setiap peluang untuk menjaringkan gol harus digunakan sebaik mungkin," kata pemain Sabah, Maxsius Musa.