Pemain pertahanan Selangor, Razman Roslan, mahu menebus kembali kesilapannya pada 2008 apabila menghadiahkan gol ketiga Kedah, sekali gus menyaksikan Hijau Kuning menjulang Piala Malaysia musim itu.

Walaupun hampir lapan tahun insiden itu berlalu, ia masih menghantui Razman.

Kesilapannya ketika mengeluarkan bola dari kotak penalti membuka ruang buat Kedah menjaringkan gol kemenangan dengan keputusan 3-2.

Razman mahu menebus kembali kesilapannya itu, apatah lagi pentas akhir Piala Malaysia bukanlah asing buat Razman kerana pernah membantu Pahang menjuarai piala tersebut pada musim 2014 dan 2015.

"Pada 2008, ia merupakan kesilapan saya yang menyebabkan Selangor tewas. Insya-Allah saya akan mencuba sebaik mungkin jika diberikan peluang.

"Seperti yang telah saya katakan, saya juga memerlukan komitmen daripada rakan-rakan untuk membantu pasukan," jelas Razman.

Bagi rakan sepasukan Razman, Andik Vermansyah, dia juga teruja dengan aksi final, Ahad ini.

Dia menempelak khabar angin yang mengatakan musim lalu Selangor menang nasib ke atas Kedah dalam aksi final atas faktor hujan.

"Pastinya kami menjalani sesi latihan dengan bersungguh-sungguh kerana perlawanan final sangat penting.

"Kami perlu profesional dengan mengikuti semua kehendak jurulatih untuk perlawanan akhir.

"Hujan atau tidak pada Ahad nanti, kami akan berlawan berhabis-habisan untuk mendapatkan kemenangan," ujar Andik.