Perak enggan meratapi kehilangan tiga lagi pemain lalu menjadikan lima tonggak tidak dapat diturunkan dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) esok, sebaliknya kekal positif mampu menghadirkan tentangan berkualiti.

Pemain import, Leandro Dos Santos, menjadi pemain terbaru yang bakal terlepas pertemuan itu ekoran kecederaan buku lali yang menimpanya minggu lalu.

Keadaan itu meletakkan The Bos Gaurus berada sedikit tempang selepas kehilangan Hafiz Kamal dan Yashir Pinto di bahagian tengah sementara Nazrin Nawi serta Jasazrin Jamaluddin terikat dengan perjanjian tidak boleh diturunkan jika bertemu Harimau Selatan.

Bagaimanapun, Durakovic percaya ini detik terbaik pemain muda memikul watak penting buat pasukan.

“Saya mahu mereka turun dan menikmati pengalaman bermain di depan ribuan penyokong kerana kami akan bertemu JDT.

"Inilah bola sepak sebenar, sudah 10 tahun Perak tidak menjejaki perlawanan akhir," kata Durakovic.

Sementara itu, Nazirul Naim Che Hashim selaku anak jati Perak mahu meraih gelaran sulung bersama pasukan, sekaligus menamatkan penantian 17 tahun Perak dalam memburu gelaran Piala Malaysia.

"Saya baru setahun-dua bermain dalam Liga Malaysia, saya berharap dapat meraih trofi sebab peluang sudah terhidang di depan mata," katanya.