Piala Malaysia: JDT, Kedah miliki kelebihan

Oleh Penulis Jemputan 15 Oktober 2017 4053
Piala Malaysia: JDT, Kedah miliki kelebihan
PERAK 1 JDT 1
FELDA 1 KEDAH 1

Perak mensia-siakan peluang beraksi di laman sendiri selepas sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia, sekaligus memberikan kelebihan buat Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin, Sabtu ini.


Suasana di Stadium Perak, Ipoh malam ini cukup menakjubkan serta seiring dengan aksi yang dipamerkan kedua-dua pasukan yang garang mencari peluang untuk membuka jaringan.

JDT lebih kerap melakukan asakan ke arah kubu pertahanan tuan rumah dengan deretan percubaan berbahaya daripada Safiq Rahim, Gabriel Guerra dan Natxso Insa.

Kecemerlangan Hafizul Hakim memastikan gawang Perak terus ampuh menaikkan semangat rakan sepasukan, menyaksikan gol pembukaan akhirnya berjaya diraih tuan rumah pada minit ke-18.

Keberanian jentera serangan The Bos Gaurus melancarkan serangan berjaya mencetus situasi kelam-kabut sehingga pertahanan JDT, Hasbullah Abu Bakar, tersepak bola masuk ke pintu gol sendiri untuk memberikan kelebihan buat Perak.

Tempo permainan yang rancak ini berterusan pada babak kedua perlawanan, dengan usaha JDT mencari gol penyamaan akhirnya berhasil selepas Mohammad Ghaddar mudah melepaskan rembatan leret menembusi gawang Perak pada minit ke-68.

Perak cuba untuk menambah jaringan, namun percubaan yang dilakukan oleh Gilmar Da Silva dan Zaquan Adha Abdul Razak gagal untuk disempurnakan.

Keputusan 1-1 ternyata memberikan kelebihan buat juara Liga Super 2017, JDT, yang membawa bekalan selesa untuk perlawanan timbal balik pada Sabtu ini.

Di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, pemain gantian, Hadin Azman, yang hanya diturunkan dalam 15 minit terakhir, memberikan Felda United gol penyamaan pada lewat permainan untuk mengikat Kedah 1-1 dalam satu lagi pertemuan separuh akhir.

Hadin menanduk masuk daripada satu sepakan sudut Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-87 selepas Kedah mendahului menerusi sepakan penalti Sandro da Silva pada minit ke-62 apabila Syazwan Zainon dijatuhkan oleh Safwan Hashim.

Dengan satu gol di tempat lawan, ia harus memberikan Kedah kelebihan apabila menanti Felda datang bertandang di Stadium Darulaman hujung minggu ini.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen