Piala Malaysia: Insurans buat penyokong antara elemen baru dalam final 

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2017 780
Piala Malaysia: Insurans buat penyokong antara elemen baru dalam final 
Dua pembaharuan diperkenal dalam penganjuran final Piala Malaysia kali ini apabila tiket disertakan dengan insurans selain perbincangan telus membabitkan pihak keselamatan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan penyokong kedua-dua pasukan sehari sebelum perlawanan akhir.

Perlawanan akhir itu bakal menyaksikan pertembungan di antara dua pasukan terbaik semasa, iaitu penyandang juara, Kedah, dan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 4 November nanti. 
 
Insurans yang dimaksudkan meliputi kesemua 72,000 tiket, kad jemputan orang kenamaan (VIP) dan VVIP yang meliputi kecederaan semasa perlawanan berlangsung selain insurans perjalanan pergi dan balik buat penyokong.
 
Sekiranya berlaku kecelakaan, penyokong hanya perlu membuat bayaran pendahuluan rawatan sebanyak RM25 dan selebihnya akan dilindungi insurans sehingga jumlah RM500.

"Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) akan bekerjasama dengan pihak insurans. Oleh itu, 24 jam sebelum sepak mula dan 12 jam selepas sepak mula, seandainya sebarang perkara berlaku dalam tempoh tersebut, mereka akan mendapat perlindungan insurans," ujar Pengarah Pertandingan Final Piala Malaysia, Mohd Shazly Shaik. 
 
Sementara itu, faktor keselamatan mendapat jaminan penuh Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat, meskipun beliau tidak menyatakan jumlah kekuatan pasukan keselamatan pada hari perlawanan dengan jelas.

"Kami akan menubuhkan sebuah pasukan petugas yang dipanggil 'JSJ'," katanya.

Dalam masa sama, Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Mohd Fahmy Yahya, berikrar Harimau Selatan akan memberikan aksi menarik dalam pertemuan mendebarkan itu.

"Kami akan memberikan persembahan semaksimum yang mungkin dan memberi sepenuh perhatian ketika menentang pasukan Kedah. Itu sahaja kami boleh cakap," katanya. 

Kem Helang Merah yang diwakili Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shahrol Shamsudin, berkata pihaknya akur dengan venue pertandingan di Stadium Shah Alam. 

"Kami mengimpikan aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil tetapi venue itu tidak dapat digunakan pada tarikh yang ditetapkan, oleh itu kami akur," katanya.

 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen