“Saya akan buat apa sahaja untuk beraksi di pentas akhir.” Itu tekad pertahanan muda Kedah, Ariff Farhan Mohd Isa, yang tidak rela terus kempunan peluang beraksi dalam final Piala Malaysia selepas diketepikan ekoran kecederaan lutut pada musim lalu.

Rezeki tidak memihak Ariff pada musim 2016 apabila mendapat kecederaan lutut anterior cruciate ligament (ACL), tiga minggu sebelum aksi final berdepan Selangor.

Tidak mengenal erti berputus asa, dia hanya mengambil masa lima setengah bulan untuk pulih sepenuhnya sebelum beraksi buat kali pertama pada 1 Julai lalu.

Mengakui kekecewaan musim lalu masih terasa, dia enggan sekali lagi dipinggirkan dan mahu mengharungi pengalaman perlawanan akhir buat julung kalinya.

"Semasa saya ditimpa ACL, saya tidak dapat bermain dalam perlawanan akhir. Ketika itu, saya fikir adakah saya akan berpeluang untuk beraksi dalam final lagi memandangkan peluang tidak selalu datang.

"Saya berharap dapat beraksi dan mahu Kedah menang lagi," katanya.

Ariff sebelum ini pernah mencuri perhatian pada 2012 apabila muncul pemain termuda beraksi dalam pusingan kelayakan AFC B-22 dan Liga Singapura ketika berusia 16 tahun.

Mampu beraksi sama ada di bahagian pertahanan kanan atau kiri mahupun posisi tengah, Ariff sedia diletakkan di mana sahaja dalam membendung kekuatan Johor Darul Ta’zim (JDT).

"Idola saya dari dulu adalah Baddrol Bakhtiar, sejak zaman saya membonceng motosikal bersama ayah untuk menonton perlawanan.

"Apabila sudah sampai di tahap ini, saya berasa bersyukur dapat bermain di sampingnya," katanya.