Masalah penjualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Darulaman habis dalam tempoh singkat tidak dapat dielakkan ekoran kebanyakan tiket telah ditempah kelab-kelab penyokong di Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Tiket Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Shaharol Niza Omar, menjelaskan sebanyak 20,000 tiket telah diberikan kepada kumpulan penyokong selain pihak penaja.

Maka, baki hanya 10,000 tiket dijual kepada penyokong yang memilih pergi secara persendirian ke Stadium Shah Alam.

Justeru, dia menjelaskan bukan sesuatu yang mengejutkan apabila semua baki tiket itu habis dalam tempoh 45 minit hari ini, yang mengundang rasa tidak puas hati majoriti penyokong Kedah.

“Kuota tiket tempatan telah ditingkatkan kepada 400 bas, ia meliputi 18,000 tiket.

"Kuota tiket untuk ahli gabungan KFA pula melibatkan sebanyak 36 kelab manakala untuk exco KFA, pemain dan penaja diperuntukan lebih 3,000 keping. Baki 10,000 tiket pula dijual di kaunter,” kata Shaharol.

Tinjauan di kaunter tiket Stadium Darul Aman menyaksikan sebahagian penyokong yang bernasib baik mendapat tiket sementara mereka yang gagal pula terpaksa pulang hampa walaupun ada antara mereka beratur sejak jam 4.00 pagi.

"Situasi pagi tadi terkawal, tidaklah seperti sekarang. Setiap kali perlawanan akhir mesti pergaduhan tercetus. Ini kerana KFA tidak memaklumkan perkara sebenar, contohnya berapa kaunter yang akan dibuka.

"Sejak malam tadi lagi, peminat mula beratur dalam tiga barisan, tetapi tiba-tiba menjadi dua barisan lalu menyebabkan orang saling berebut untuk mendapatkan tiket," kata seorang peminat ketika ditemui di Stadium Darulaman.