TFC II 3 ATM 0
(TFC II mara dengan agregat 5-0)

Terengganu FC (TFC) II menepati ramalan menewaskan pasukan jemputan, ATM, 3-0 dalam aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran di Kuala Terengganu, sebentar tadi, sekaligus mara ke final dengan agregat 5-0.


Skuad kendalian Tengku Hazman Raja Hazman itu begitupun diuji dengan sepakan percuma pemain tengah ATM, Mohamad Azim Faris Shari, di depan kotak penalti pada minit kelima.

TFC II kemudian memperkemaskan rentak yang menyaksikan tandukan Akanni Sunday Wasiu pada minit kesembilan ditepis Mohamad Hafizuddin Azuhar sebelum sepakan kencang Jean Andrew Baptiste seminit kemudian mengegar palang ATM.

Pintu gol pelawat bocor pada minit ke-14 selepas Jean Andrew melepasi kawalan pertahanan lawan untuk menewaskan Hafizuddin dan memberikan kelebihan kepada TFC II.

Memasuki minit ke-25, pemain sayap tuan rumah, Muhammad Zueasyraf Zulkiefle, hampir menggandakan kedudukan apabila menerima umpanan Akanni Sunday, namun percubaannya digagalkan Hafizuddin.

Serangan bertali arus TFC II membuahkan hasil dengan Akanni Sunday melakukan rembatan padu kaki kiri dan menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-26.

TFC II berpeluang melebarkan jaringan selepas rehat, namun tandukan Akanni Sunday pada minit ke-50 serta percubaan Abdul Shukor Jusoh pada minit ke-52 diselamatkan Hafizuddin.

Pada minit ke-61, tuan rumah sekali lagi hampir mendapat gol ketiga, kali ini hantaran lintang Mohd Shahrin Sapien gagal disudahkan dengan baik oleh Haidhir Suhaini.

Tiang kemudian menjadi penghalang TFC II yang menafikan tandukan Jean Andrew sebelum Akanni Sunday menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-82 bagi memastikan kemaraan TFC II ke final edisi sulung Piala Cabaran.

Sementara itu, UKM FC meneruskan kemaraan ke pentas final susulan kejayaan di Pasir Gudang apabila menundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT) II 1-0 untuk kemenangan agregat 2-1.

Keputusan lain:

JDT II 0 UKM 1
(UKM mara dengan agregat 2-1)