Piala Cabaran: Dua kapten bawa misi serupa

Oleh Tengku Danish Bahri 14 Oktober 2018 249
Piala Cabaran: Dua kapten bawa misi serupa
Tonggak berpengalaman Terengganu FC (TFC) II, Mohd Hasbullah Awang, enggan melepaskan peluang menjadi kapten pertama menjulang trofi edisi sulung Piala Cabaran dalam aksi final kedua bertemu UKM FC di Kuala Terengganu, malam esok.

Keputusan seri 2-2 di Shah Alam diakuinya memberi sedikit kelebihan kepada TFC II walaupun pada masa yang sama tidak mahu rakan-sepasukan mengambil mudah cabaran Varsity Boys.

Hasbullah, 35, juga menyifatkan kekecewaan tersingkir ke Liga FAM musim depan perlu segera diubati sambil menolak kemungkinan perlawanan malam esok adalah yang terakhirnya dan seterusnya bersara daripada bola sepak tempatan.

"Ini merupakan peluang yang terhidang di depan mata dan berpeluang mengukir nama TFC II sebagai juara pertama.

"Selain itu saya berharap penyokong akan hadir memberi semangat dan kami akan beraksi bermati-matian," jelasnya.

Bagi ketua pasukan UKM FC, Asnan Ahmad, selepas tumpas dalam final Piala FAM pada 2017, fokus mereka kini membuktikan kehadiran skuad berstatus universiti itu bukan sekadar pelengkap jadual.

Prestasi UKM FC di bawah kendalian Sulaiman Hussin digambarkannya cukup baik dengan kesemua pemain tempatan adalah pelajar di universiti berkenaan.

"Kami semua begitu bersemangat dan pencapaian ini antara yang terbaik dalam karier pemain," kata Asnan.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen