Sama ada jaringan nasib, kemenangan tipis atau menerusi penentuan penalti, apa sahaja keputusan yang membolehkan Perak menjulang Piala Malaysia 2018 akan diraikan ketika Terengganu disifatkan sebagai satu unit sempurna.

Skuad The Bos Gaurus menjalani sesi latihan terakhir di gelanggang keramat mereka, Stadium Perak, hari ini.

Perincian taktikal daripada jurulatih, Mehmet Durakovic, sudah pasti terarah kepada cara untuk memecah benteng lawan sambil keperluan menangani dua tonggak import Peteh, Tchetche Kipre dan Lee Tuck.

"Kami melalui sesi latihan yang baik. Kami akan ke Shah Alam esok untuk menghadapi aksi Sabtu ini.

"Secara keseluruhan, kami mengharungi persiapan seperti apa yang dilalui sepanjang tahun. Sudah tentu Terengganu memiliki pemain bahaya seperti Lee Tuck serta beberapa pemain tempatan tetapi kami tidak mahu memikirkan hanya satu nama," kata Durakovic.

Ketua jurulatih Perak yang terkenal dengan perincian disiplin itu pasti menjadikan elemen
tersebut sebagai keutamaan apabila Perak dan Terengganu berentap di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

"Saya tidak kira apa yang berlaku asalkan kami menang. Saya hanya mahu kedua-dua pasukan mempamerkan bola sepak yang bagus. Ia bakal menjadi malam istimewa buat semua.

"Ia bergantung kepada siapa yang bijak menggunakan peluang dengan baik."