Ribuan penyokong Selangor yang membanjiri stadium seawal jam 4 pagi, pulang hampa apabila 8,000 tiket yang diperuntukkan untuk jualan di kaunter, habis terjual dalam masa kurang setengah jam.

"Saya berasa kecewa sangat. Mungkin faktor orang dalam atau ulat-ulat tiket yang menyebabkan tiket habis dijual dengan begitu cepat. Kami pun tidak tahu, tetapi saya berasa sangat-sangat kecewa," jelas salah seorang penyokong Selangor.

Walaupun sistem penjualan kali ini perlu menggunakan kad pengenalan sebagai bukti anak jati Selangor, namun ada juga penyokong Kedah yang berjaya untuk mendapatkan tiket, pagi tadi.

"Saya datang awal dan semasa giliran saya membeli tiket, mereka tidak memeriksa kad pengenalan sebagai pengesahan untuk pembelian. Syukur sebab saya terlepas dan berjaya untuk mendapatkan tiket," kata penyokong Kedah.

Bagaimanapun, rata-rata menganggap sistem penjualan kali ini lebih sistematik jika dibandingkan dengan tahun sebelum ini.

"Penyokong-penyokong Selangor boleh membuat tempahan tiket lebih awal melalui Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) dan pada saya itu adalah langkah yang boleh dianggap baik," ujar penyokong setia skuad Merah Kuning.