Penyokong The Bos Gaurus (TBG) terus berusaha untuk menggesa Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, meletakkan jawatan dengan mengadakan petisyen.

Sehubungan itu, satu kempen menandatangani petisyen di kalangan penyokong Perak bagi mendesak presiden PAFA meletakkan jawatan diadakan Pasar Karat Ipoh, Jalan Horley, hari ini.

Penasihat Yellow Mobs yang mewakili penyokong TBS, Mohd Jeffery Amin Abd Hamid, berkata tindakan presiden PAFA yang meletakkan trofi di celah kangkangnya dan di atas meja makan telah menjatuhkan imej dan keunggulan piala berkenaan.

Justeru, katanya, penyokong Perak, termasuk beberapa persatuan penyokong bola sepak negeri, menggesa Hasnul Zulkarnain mengundur dirikan daripada pengurusan PAFA dan meletakkan jawatan.

“Piala tu piala keramat, satu Malaysia tahu keunggulan piala berkenaan.

“Tindakannya (Hasnul Zulkarnain) itu memalukan, sekali gus mencemarkan ‘kesucian’ piala berkenaan,” katanya.

Mohd Jefferey berkata selain mengadakan kempen menandatangani petisyen berkenaan, pihaknya turut mengadakan kempen menandatangani petisyen secara atas talian dan perhimpunan bantahan di hadapan Stadium Perak, petang ini.

“Setakat ini, lebih 3,000 penyokong Perak sudah menandatangani petisyen itu, termasuk secara atas talian, yang akan berakhir pada tengah malam nanti manakala kempen menandatangani petisyen di Pasar Karat berakhir pada jam 12 tengah hari, sebentar tadi.

“Semua tandatangan ini akan diserahkan kepada Pejabat PAFA pada Isnin ini,” katanya.

Beliau berkata presiden PAFA yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong itu sepatutnya mengadakan perarakan Piala Malaysia bersama pemain kerana mereka yang bertungkus-lumus memenangi piala berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, tindakan Hasnul Zulkarnain yang mengendalikan piala berkenaan secara peribadi, termasuk berarak di Parit Buntar, dilakukan seperti hak milik persendirian.

“Kali terakhir Perak memenangi Piala Malaysia 18 tahun lalu dan diletakkan di kediaman Menteri Besar bagi membolehkan penyokong Perak datang untuk melihat sendiri piala keramat itu.

“Sekiranya Hasnul (Zulkarnain) enggan berbuat demikian (meletakkan jawatan), saya pasti rakyat pasti marah, namun terpulang kepada etika dirinya sendiri sama ada malu dengan tindakan itu atau sebaliknya,” katanya.

Beliau menafikan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, kononnya tuntutan dan serangan dihadapi presiden PAFA untuk meletakkan jawatan berunsurkan politik.