Penyokong Perak tidak akan berhenti selagi hasrat mereka melihat Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, meletak jawatan tidak kesampaian.

Berikutan itu, mereka akan menghantar memorandum kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, untuk menjayakan cita-cita mereka.

Sebagai permulaan, mereka akan menghantar petisyen bantahan yang ditandatangani kira-kira 3,000 orang kepada PAFA esok.

Jika usaha itu tidak berkesan, kumpulan itu akan membawa perkara itu kepada Ahmad Faizal.

Pandangan itu disuarakan oleh wakil kumpulan itu, M. K Muzzamil M Rudzlan, ketika mengadakan perhimpunan aman, petang semalam.

Perhimpunan di perkarangan Stadium Perak itu dihadiri kira-kira 300 orang.

Muzzamil, 33, berkata penyokong Perak malu dengan gelagat Hasnul yang menjatuhkan martabat trofi unggul itu, terutama meletakkannya di celah kangkang.

"Dia tidak layak jadi presiden dengan cara dia melayani piala itu.

"Sebagai rakyat Perak, kami malu dengan tindakannya.

"Bukan setakat isu piala, banyak salah laku lain dilakukan Hasnul sebagai presiden PAFA, terutama isu penjualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia yang lalu," katanya.