Ketua jurulatih PJ City FC, K. Devan, yakin pasukan kendaliannya itu berpeluang cerah mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas mengatasi UiTM FC 2-0 di Stadium UiTM, di Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan ketiga daripada empat perlawanan itu membolehkan PJ City mengutip sembilan mata manakala UiTM sah tersingkir daripada merebut slot ke suku akhir setelah gagal mengutip sebarang mata dalam empat perlawanan.

"Kami sememangnya layak untuk menang kerana pemain menunjukkan permainan yang cemerlang dengan menggunakan bahagian sayap untuk membuat beberapa hantaran lintang dan berjaya mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol," katanya ketika sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Dalam pada itu, pengendali UiTM, Ismail Zakaria, akur dengan kegagalan skuadnya melayakkan diri ke peringkat suku akhir, namun berpuas hati dengan peningkatan persembahan yang dipamerkan skuad 'The Lion Troops' dalam perlawanan berkenaan.

"Saya tidak meletakkan harapan tinggi dalam kejohanan ini, malah menjadikan ia sebagai tempat untuk pemain mendapat lebih banyak pengalaman bermain dengan pasukan yang lebih baik.

"Kalah atau menang bukan isu bagi saya kerana yang penting, pemain dapat menikmati pengalaman dan membuat persiapan untuk menghadapi Liga Perdana musim depan," katanya.

Dalam aksi di Shah Alam itu, pemain import dari Brazil, Washington Brandao, membuka tirai jaringan sebelum K. Satish mengesahkan kemenangan pasukan berkenaan menerusi gol kedua pada minit ke-71.

-- BERNAMA

Kredit foto: MFL