Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku melibatkan para penyokong, menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 yang menemukan Selangor dan Kedah.

Ketua Polis IPD Shah Alam, ACP Shafien Mahat, akan mengerahkan seramai 2,443 orang anggotanya termasuk beberapa agensi lain seperti bomba dan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), bagi menjaga keselamatan di kawasan Stadium Shah Alam ketika aksi final, Ahad ini.

Tegas Shafien, pihaknya memandang serius sebarang bentuk provokasi yang boleh mencetuskan pergaduhan dan berharap suasana final pada edisi kali ini tidak dicemari aksi ganas oleh para penyokong kedua-dua pasukan.

Kawalan ketat di setiap pintu masuk akan dikuatkuasakan bagi mencegah beberapa objek larangan daripada diseludup masuk, antaranya suar, payung, botol minuman dan juga mercun.

"Untuk makluman semua, di luar stadium nanti, pihak polis juga akan mengadakan rondaan dan tangkapan sekiranya ada maklumat kegiatan ini berlaku.

"Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan. Jadi nasihat saya, elakkan menimbulkan sebarang masalah ataupun provokasi," tegas Shafien.

Di pihak penganjur, Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, menasihatkan dalam keghairahan untuk menyaksikan aksi final Piala Malaysia tahun ini, keselamatan haruslah diutamakan.

Sebagai badan yang bertanggungjawab menganjurkan Piala Malaysia buat kali pertama tahun ini, Kevin berharap agar peminat kedua-dua pasukan dapat menikmati perlawanan bola sepak yang menarik Ahad ini.

"Kami berharap sama seperti final Piala FA, pihak-pihak yang terlibat tidak membuat kerosakan stadium," kata Kevin.