KEDAH 2 PDRM 1

Kedah meraih kemenangan tipis 2-1 menewaskan PDRM FA dalam perlawanan pertama separuh akhir saingan Piala Malaysia yang menyaksikan tiga gol dijaringkan menerusi sepakan penalti di Stadium Darulaman, malam ini.


Kesilapan penjaga gol The Cops, Muhammad Haziq Nadzli, membawa padah apabila memberikan penalti kedua buat skuad Lang Merah ketika permainan berbaki 10 minit.

Puluhan ribu penyokong Kedah di stadium yang mengharapkan pasukan kesayangan mereka mencipta bekalan selesa ke tempat lawan, mulai gamat sebaik perlawanan bermula dengan tuan rumah pantas mengatur asakan ke kubu PDRM.

Situasi itu memaksa pertahanan PDRM melakukan kesilapan dengan menjatuhkan Thiago Augusto di dalam kotak penalti sebelum pemain import Kedah itu dengan tenang menyumbat gol pertama buat Lang Merah seawal minit kesembilan.

Namun, tiga minit selepas itu, giliran pasukan bimbingan Fauzi Pilus pula dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran terhadap Christopher Keli.

Penyerang import mereka, Guillerme de Paula, juga mudah menyempurnakannnya untuk menyamakan kedudukan.

PDRM hampir berada di depan, namun peluang terbuka buat Mohd Fauzi Majid pada minit ke-62, gagal disudahkan dengan jaringan.

Akhirnya, tuan rumah memanfaatkan kesilapan Haziq yang melakukan kekasaran dalam usahanya menghalang larian Augusto.

Kali ini, giliran Liridon Krasniqi tampil untuk menyempurnakan sepakan penalti itu untuk memberi bekalan buat Kedah di Stadium Hang Jebat, 15 Oktober nanti.

Kredit imej: Kedah FA - Persatuan Bolasepak Kedah