MKN tolak rayuan MFL teruskan Piala Malaysia

Oleh Muzaffar Musa 11 November 2020 1273
MKN tolak rayuan MFL teruskan Piala Malaysia
Majlis Keselamatan Negara (MKN) menolak rayuan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk membenarkan saingan Piala Malaysia diteruskan, sekali gus mengundang teka-teki mengenai penganjuran kejohanan bola sepak tertua negara itu.

Kerajaan pada Sabtu lalu mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Semenanjung Malaysia kecuali di Pahang, Perlis dan Kelantan bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang kian meningkat.

Susulan itu, saingan Piala Malaysia terpaksa ditangguhkan sebelum MFL mengemukakan rayuan kepada MKN untuk kejohanan itu diteruskan.

Dalam sidang media harian hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata: "Tanggungjawab kerajaan adalah untuk menjaga kesihatan rakyat, jadi sekali lagi mesyuarat (MKN) membuat keputusan untuk tidak membenarkan pertandingan ini diteruskan dan ditangguhkan. Bukan dibatalkan tetapi ditangguhkan.

"Insya-Allah, kalau kita sama-sama memutuskan rantaian (jangkitan) ini dengan mematuhi SOP (prosedur operasi standard), mungkin keadaannya berbeza dalam satu atau dua minggu ini. Mungkin piala tersebut boleh diteruskan."

Keputusan MKN itu membawa persoalan mengenai status kejohanan itu sama ada akan diteruskan atau dibatalkan memandangkan PKPB di Semenanjung Malaysia hanya akan tamat pada 6 Disember depan.

 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen