Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) angkara COVID-19 yang dilanjutkan hingga 6 Disember depan memaksa aksi suku akhir Piala Malaysia yang dijadualkan minggu ini terpaksa ditangguhkan.

Penangguhan itu ekoran keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini menolak permohonan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi pihak Persatuan Bolasepak Malaysian (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk aksi suku akhir Piala Malaysia dilangsungkan di Kelantan dan Pahang.

Penangguhan terbaru itu adalah yang keempat dialami kejohanan bola sepak tertua negara berkenaan, secara tidak langsung mengundang kemungkinan apakah edisi kali ini dibatalkan dengan nasibnya dijangka diketahui esok.

Pihak MKN terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melihat risiko penularan pandemik itu dalam Piala Malaysia, sekali gus menolak usul yang diajukan KBS supaya peringkat suku akhir boleh dilangsungkan di dua daripada tiga negeri yang tidak tertakluk kepada PKPB.

Kelibat Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, kelihatan hadir di KBS, Putrajaya, hari ini untuk mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu itu sementara Presiden FAM merangkap Pengerusi MFL, Datuk Hhmidin Mohd Amin, tidak dapat hadir ekoran masalah kesihatan.

Stuart, bagaimanapun, tidak dapat memberi kepastian nasib Piala Malaysia sama ada terus ditangguh atau dibatalkan langsung, sebaliknya menyerahkannya MFL untuk membuat keputusan muktamadnya.

"Percaturan semula yang kena melibatkan (penjadualan) yang fleksibel memandangkan (keadaan) selalu berubah memang susah untuk semua pihak (aturkan) perancangan.

"Selepas perbincangan melibatkan MFL dan KBS (hari ini), satu keputusan akan diumumkan (kelak).

"Kami tidak mahu (mengulas) apa-apa (untuk mewakili MFL). Sudah pasti sebarang keputusan telah dipertimbangkan oleh semua pihak yang pasti mahu mengambil langkah yang sesuai buat semua," katanya hari ini.

? Sah! Lapan pasukan yang akan berentap pada suku akhir TM Piala Malaysia 2020! ? Perlawanan mana paling menarik perhatian anda? ? #TMPialaMalaysia2020

Posted by Malaysian Football League on Sunday, November 8, 2020