Legasi Mehmet Durakovic dan Piala Malaysia ternyata tiada tandingan di saat jodoh dia dan Perak masih menjadi tanda tanya walaupun membimbing pasukannya menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu dalam final, semalam.

Tatkala nama Durakovic semakin ampuh dalam dunia bola sepak Malaysia, Selangor datang memanggil dan ingin membawanya keluar dari kem The Bos Gaurus.

Kebangkitan yang disempurnakan dengan penentuan sepakan penalti semalam membolehkan Durakovic menjulang piala keramat itu buat kali kelima.

Ironinya, setiap kejayaan Durakovic di pentas Piala Malaysia dilakar di Stadium Shah Alam yang menjadi laman keramat skuad Selangor.

Walaupun dia masih tidak memberi sebarang pengesahan atau menafikan masa depannya bersama Perak musim depan, Durakovic tetap berasa lega dengan kejayaan yang diraih selepas The Bos Gaurus bangkit dua kali untuk mengikat kedudukan 3-3 sebelum unggul 4-1 ketika penentuan sepakan penalti.

"Pertama kali saya hadir di stadium ini, saya beraksi sebagai pemain jemputan. Stadium Shah Alam sentiasa berada dalam memori hebat saya. Semua orang tahu bahawa Selangor adalah rumah kedua saya," kata Durakovic sewaktu sidang media selepas perlawanan.

"Malam ini, kami bangkit daripada ketinggalan 2-0 dan perlawanan ini akan terpahat dalam sejarah. Namun, aksi bola sepak daripada kedua-dua pasukan ternyata berada di kelas tersendiri.

"Bagaimanapun, hanya ada satu pemenang dan saya berbesar hati Perak muncul juara. Saya mahu menikmati kejayaan ini bersama keluarga kerana perlawanan malam ini sangat hebat."

Jika benar Durakovic bakal meninggalkan Perak, ia sukar dibayangkan oleh pemain-pemain tetapi dalam masa sama, terdapat segelintir pemain yang cukup berbangga dengan pencapaian yang diraih pengendali mereka itu.

"Saya rasa dia adalah seorang jurulatih yang sangat mesra dengan pemain. Mungkin daripada sentuhan ajaibnya membolehkan kami beraksi sebagai satu pasukan. Kemenangan ini adalah hadiah daripadanya," kata kapten Perak, Shahrul Saad.

"Jika dia berhijrah, kami harus terima dengan baik. Apapun, kami berterima kasih kerana dia hadir ke Perak dan membantu kami."

"Saya rasa keputusan yang kami raih sudah boleh menjawab persoalan itu. Kami menduduki tangga kedua Liga Super dan tahun depan akan berentap dalam saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia dan kini memenangi Piala Malaysia, jadi jawapan itu sudah ada," tambah penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.