Pertahanan Selangor, Shahrom Kalam, kembali memperkuatkan skuad kebangsaan, sekali gus menjadi pemain ke-30 dipanggil oleh jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, untuk aksi persahabatan berdepan Singapura dan Afghanistan pada 7 dan 11 Oktober ini.

Selepas Khairul Helmi Johari, Kim Swee membuat keputusan menyenaraikan Shahrom sebagai pilihan terbaru pertahanan tengah.

Menurut jurulatih skuad kebangsaan itu, Shahrom sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya ketika bersama skuad Harimau Malaysia dalam Jelajah Oceania pada Jun lalu.

Dia berharap ketua pasukan Selangor itu sempat cergas sepenuhnya sebelum bertolak ke Singapura, 5 Oktober ini.

"Keadaan terkini Shahrom Kalam bertambah baik. Hari ini juga dia berada dalam pasukan Selangor (aksi Piala Malaysia pada malam ini).

"Dia telah menjalani rawatan pemulihan bersama ahli fisioterapi kami sejak hari pertama dia mendapat kecederaan," terang Kim Swee.

Mengenai kritikan terbaru yang dilemparkan oleh pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, di laman Johor Southern Tigers bahawa dia tiada kualiti untuk mengendalikan skuad negara, Kim Swee mengambil pendekatan positif dengan menganggap itu satu cabaran.

Dia juga melihat pemain-pemainnya memahami apa yang sedang berlaku tetapi mereka sama sekali belum patah semangat untuk terus berbakti kepada negara.

"Kita boleh lihat daripada riak wajah mereka bahawa ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dan mereka mahu membuktikan sesuatu.

"Ini adalah satu peluang kerana sebagai pemain, mereka perlu mengambil cabaran ini.

"Bukan sebab saya, tetapi ia adalah demi maruah negara.

"Tidak kira sesiapa yang bermain, namun bagi mereka yang terpilih, mereka perlu membuktikan mereka layak dan berjuang untuk negara," tambahnya.

Malaysia akan menentang musuh tradisi, Singapura, dan saksikan aksi eksklusif yang Astro Arena bawakan menerusi siaran langsung dari Stadium Nasional Singapura pada 7 Oktober, jam 8 malam, juga di saluran 802 HD.