"Berikan segalanya dan main bermati-matian."

Itu pesanan Irfan Bakti Abu Salim kepada skuad bimbingannya menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu ini.

Menyedari JDT pasukan lengkap di semua posisi, Irfan juga mahu Terengganu FC (TFC) mengambil kesempatan beraksi di Kuala Terengganu di depan pemain ke-12 mereka selain memburu jaringan awal.

Irfan berkata tiada pasukan akan turun selaku pasukan pilihan dengan peringkat separuh akhir menjanjikan pertembungan lebih sengit walaupun rekod sebelum ini berpihak kepada anak-anak buah Luciano Figueroa itu.

"Saya hormat JDT sebagai pasukan nombor satu di Malaysia tetapi bukan bermakna mereka tidak boleh dikalahkan," ujar pengendali berpengalaman itu.

Sementara itu, ketiadaan Nasrullah Hanif Johan (penggantungan) serta Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris (cedera) akan menyaksikan sama ada Radhi Yusof atau Abdul Latif Suhaimi digandingkan bersama Igor Zonjic di benteng pertahanan.

Kelibat pemain lincah, Mohd Faiz Nasir, turut berada dalam perancangan jurulatih berkenaan bagi membarisi kesebelasan utama selepas cemerlang mengubah perlawanan dari bangku simpanan.

"Walaupun barisan belakang agak tempang, saya yakin jika pemain-pemain mampu mengekalkan karakter seperti bertemu Felda, Terengganu mampu meraih keputusan positif," tambah Irfan.