Jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim, mahu mengakhiri 'badi' naib juara dengan membawa skuad Peteh menjuarai Piala Malaysia 2018 bagi mendakap kejuaraan sulung piala teragung itu dalam kariernya.

Irfan Bakti merupakan nama yang cukup sinonim dalam kancah bola sepak Malaysia tetapi pengendali berusia 67 tahun itu lebih banyak memenangi gelaran naib juara dalam kariernya sebagai jurulatih.

Ia termasuk ketika dia kempunan merangkul kejuaraan sulung Piala Malaysia tujuh tahun lalu selepas Terengganu tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan dalam aksi final.

Justeru, aksi final kali ini dianggap peluang terbaik buat irfan untuk menebus kehampaan lalu apabila bakal melakukan perhitungan dengan Perak, Sabtu ini.

"Dalam aksi kedua final Piala Malaysia ini, secara peribadi saya sangat mahu menjulang Piala Malaysia walaupun telah merangkul trofi liga dan Piala FA. Ini satu-satunya piala yang belum saya julang.

"Berbekalkan moral yang dimiliki pemain serta sokongan padu daripada penyokong dan pengurusan, saya harap pemain dapat mempamerkan persembahan bermutu dan menghiburkan dalam final nanti," ujar Irfan.